Punca-Punca Berlakunya Kemalangan Jalan Raya
Sejak kebelakangan ini, kadar kemalangan jalan raya semakin hari semakin meningkat bagai kan diibaratkan cendawan tumbuh selepas hujan. Mengikut purata, terdapat satu kemalangan yang berlaku pada setiap hari di setiap tempat yang berbeza. Isu kemalangan jalan raya ini telah menjadi buah mulut masyarakat dan telah mendapat perhatian pihak media massa dalam tempoh masa yang singkat. Kemalangan jalan raya yang berlaku di Malaysia meningkat secara mendadak sehingga tiada penghujungnya. Persoalannya,apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita?
Antara punca utama menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu itu sendiri. Pemandu lebih suka memandu dengan had laju yang melampau supaya lebih cepat sampai ke destinasi. Kebanyakan pemandu juga lebih gemar melanggar lampu isyarat kerana tidak mahu menunggu dengan lama sehingga mereka mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bukan hanya pengguna kereta sahaja, pengguna motosikal juga memiliki sikap mementingkan diri yang tinggi dengan memotong kenderaan besar yang lain dengan had laju yang berlebihan. Hal ini boleh menyebabkan kemalangan jalan raya dengan tindakan pengguna motosikal tersebut. Oleh itu, para pengguna jalan raya seharusnya tidak bersifat agresif seperti ini dan sentiasa berhemat ketika memandu di jalan raya.
Selain itu, penggunaan telefon bimbit semasa memandu juga adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya. Kajian menunjukkan sebanyak 90 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Perbuatan ini amat berbahaya kerana pemandu berkemungkinan tinggi akan lalai apabila menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan akan menyebabkan mereka hilang kesedaran apabila memandu. Pengguna jalan raya seharusnya sedar bahawa penggunaan telefon bimbit semasa memandu adalah salah di sisi undang-undang jalan raya. Lantaran itu,pemandu perlu mengelakkan diri daripada menggunakan telefon bimbit semasa memandu demi keselamatan diri dan orang lain.
Di samping itu,punca kemalangan jalan raya yang seterusnya ialah pemandu berada di bawah pengaruh alkohol.Setiap pengguna jalan raya seharusnya mengambil berat tentang keselamatan diri ketika memandu di atas jalan raya. Pemandu tidak seharusnya memandu dalam keadaan mabuk kerana hal ini merupakan salah satu punca yang besar di mana kebanyakan mangsa kemalangan jalan raya berpunca daripada pengaruh alkohol. Pengguna akan hilang waras sehingga mampu membahayakan keselematan pengguna jalan raya yang lain. Oleh yang demikian,jelaslah bahawa pemandu yang mabuk merupakan salah satu isu utama mengapa kemalangan jalan raya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Tambahan pula, punca utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak selamat. Keadaan jalan raya yang tidak selamat adalah disebabkan oleh jalan raya yang licin selepas hujan. Pengguna jalan raya kebanyakannya hilang kawalan disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak baik sehingga menyebabkan keadaan jalan raya yang licin lalu menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Selain itu juga, keadaan jalan raya yang tidak diturap dengan baik serta memiliki selekoh yang tajam juga merupakan salah satu punca berlakunya kemalangan jalan raya. Oleh itu,pemandu sewajarnya berhati-hati semasa memandu di jalan raya dengan mengurangkan had laju kenderaan pengguna tersebut.
Akhir sekali, kerosakan pada kenderaan juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Melalui punca ini, pihak pengguna jalan raya seharusnya mengambil tahu dengan keadaan semasa kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan. Namun, kebanyakan pengguna jalan raya tidak mengambil tahu akan perkara tersebut dan memandang ringan sahaja tanpa melakukan apa-apa. Pengguna jalan raya hanya memikirkan untuk sampai ke destinasi yang ditujui dengaan selamat tanpa mengambil kira keadaan kenderaan semasa. Jadi tidak mustahil kemalangan jalan raya akan berlaku apabila kenderaan pengguna jalan raya tersebut mengalami kerosakan secara mengejut apabila berada di jalan raya sehingga menyebabkan pengguna jalan raya yang lain tidak sempat untuk melakukan apa-apa. Justeru, sikap pengguna seperti ini sehaarusnya dikurangkan agar kadar kemalangan jalan raya di negara kita tidak akan menjadi-jadi.
Kesimpulannya, setiap pemandu perlu berhati-hati di jalan raya bak kata pepatah “Biar lambat asalkan selamat”. Pengguna jalan raya perlulah memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Peranan pihak berkuasa juga seharusnya membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan jalan raya berada dalam keadaan yang selamat. Oleh yang demikian, semua pihak hendaklah berganding bahu serta bekerjasama agar kadar kemalangan jalan di negara kita mampu diatasi dengan baik serta keselamatan semua pengguna jalan raya akan terjamin.